KUCHING: Pengukuran perimeter Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di konstituensi Ngemah perlu disegerakan agar dapat digunakan untuk meningkatkan sosioekonomi di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana berkata, Ngemah merupakan kawasan luar bandar yang masih tebal diliputi hutan dan tanah hak milik penduduk yang belum lagi diukur.
“Penyelesaian kerja-kerja pengukuran tanah adat ini adalah diharap dapat digunakan secara maksima untuk mengeluarkan hasil pertanian agar dapat meningkatkan sosio-ekonomi setempat, meningkatkan pendapatan isi rumah dan sekaligus dapat mengurangkan kadar kemiskinan tegar rakyat Sarawak khasnya di kawasan luar bandar.”
Beliau berkata demikian ketika membahasakan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Ketika ini jelasnya, pengukuran perimeter tanah adat perlu melalui Seksyen 6, Kanun Tanah Negeri (KTN) iaitu pengukuran secara komuniti sebelum diukur di bawah Seksyen 18, KTN bagi pemilikan individu.
Namun begitu katanya, masalah terkini adalah isu tuntutan bertindih pemilikan tanah adat di antara penduduk dengan syarikat-syarikat swasta yang membangunkan tanah tersebut sama ada untuk tujuan pembalakan dan pertanian.
Ia dirumitkan lagi dengan isu perebutan pemilikan di antara ahli keluarga dan sanak saudara yang menyumbang kepada kelewatan dalam mengeluarkan surat hak milik tanah kepada milik individu. -EDISI UKAS