KUCHING: Kerajaan disarankan agar mengkaji semula pemberian elaun kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang ketika ini ditakrifkan sebagai kurang sesuai dengan beban tugas mereka dan juga keadaan ekonomi semasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana berkata, elaun seorang Ketua Kaum yang ketika ini berjumlah RM900 sebulan wajar dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan.
“Dengan pertambahan elaun tersebut ia pastinya akan meningkatkan komitmen KMKK dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahasakan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak wajar memantapkan institusi KMKK bukan sahaja keperluan dari segi kelayakan akademik tetapi juga dari aspek elaun yang diterima oleh mereka.
Ujarnya, bidang tugas KMKK ketika ini adalah mencabar dan tidak hanya untuk menjaga pentadbiran di kampung atau rumah panjang mereka sahaja.
Dalam pada itu, Anyi Jana memberitahu, pelantikan bagi KMKK juga perlu diteliti dan dinilai semula.
Jelasnya, ketika ini masih terdapat Ketua Masyarakat (Penghulu) yang mempunyai sehingga melebihi 50 buah kampung atau rumah panjang dalam bidang kuasa mereka.
“Skop kerja mereka ini boleh dikecilkan kepada 20 hingga 30 buah kampung atau rumah panjang bagi melicinkan aspek pentadbiran.
“Manakala bagi pelantikan Tuai Rumah, dicadangkan agar Tuai Rumah yang mentadbir sekurang-kurangnya 20 pintu (bilik) diberi kelonggaran untuk dilantik secara sah dengan diberikan Sijil Pelantikan Ketua Kaum,” katanya. -EDISI UKAS