KUCHING: Program latihan vokasional khusus dalam teknologi tenaga hijau terutamanya tenaga solar terapung dicadangkan untuk dilaksanakan bagi masyarakat di Murum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon berkata, perkara ini perlu diambil kira dengan mengutamakan pengambilan tenaga kerja tempatan bagi projek tenaga hijau yang terletak di kawasan Murum terutamanya projek solar terapung yang akan dilaksanakan di Empangan Hidroelektrik Murum.
“Saya yakin projek ini secara langsung dan tidak langsung akan membawa manfaat dan peluang pekerjaan, sosial-ekonomi kepada penduduk setempat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahasakan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2025), 2024 semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Tambahnya, ia memberi peluang bagi komuniti setempat untuk meningkatkan ekonomi mereka dengan menjadi pembekal bahan mentah dan perkhidmatan lain yang berkaitan atau melibatkan diri dalam ekopelancongan.
Dalam pada itu, Kennedy turut memohon agar lebih banyak infrastuktur digital ini dibina di kawasan-kawasan pedalaman termasuk di konstituensi Murum yang merangkumi kawasan Tubau, Jelalong, Sungai Asap, Urun, Tegulang, Metalaun dan Sungai Linau dalam memastikan masyarakat Murum tidak ketinggalan dalam agenda transformasi digital ekonomi ini.
Jelasnya, transformasi digital adalah “game changer” ke arah negeri berasaskan digital ekonomi yang pastinya memerlukan infrastruktur digital seperti menara dan rangkaian sistem telekomunikasi yang baik dan stabil termasuk pemasangan gentian optik bagi mengoptimumkan capaian internet berkelajuan tinggi. -EDISI UKAS