KUCHING: Konstituensi Murum dan Belaga sangat berpotensi untuk dijadikan destinasi eko-pelancongan berasaskan Kebudayaan, Pengembaraan dan Explorasi Alam Semulajadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon berkata, kawasan tersebut amat unik dengan kepelbagaian suku bangsa dan etnik yang kaya dengan warisan, seni dan budaya yang bernilai tinggi.
Selain itu katanya, ia mempunyai khazanah alam semula jadi, hutan rimba, flora dan fauna, sungai, tasik, gunung ganang dan air terjun yang indah dan cantik sekali yang pasti menarik untuk diterokai oleh pelancong-pelancong dalam dan luar negara.
“Saya mencadangkan agar, pihak Kementerian Pelancongan Malaysia (MOTAC), pihak Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak dan agensi-agensi berkaitan untuk mempromosikan produk-produk pelancongan kita yang sedia ada.
“Saya juga mencadangkan agar kementerian-kementerian ini turut menerokai potensi destinasi yang baharu selain memberi insentif galakan kepada komuniti kita untuk terlibat dan menceburi dalam industri pelancongan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Selain itu, Kennedy juga mencadangkan agar pesta-pesta yang diadakan di daerah Belaga diberi geran tahunan dan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan Sarawak dan Malaysia.
Jelasnya, antara pesta tersebut adalah Pesta Seni dan Kebudayaan Apau Koyan, Regatta Belaga Rainforest Challenge, Pesta Do Ledoh (Komuniti Kayan), Pesta Lepa Ajau Ladong Bio (Komuniti Kenyah), Pesta Saviek (Komuniti Kajang) dan Pesta Adet Tapo' (Komuniti Penan).
“Pesta-Pesta kesenian dan kebudayaan etnik Orang Ulu yang unik ini amat berpotensi untuk menarik pelancong ke Sarawak,” ujarnya.-EDISI UKAS