KUCHING: Seramai 21 kanak-kanak di Meradong masih menunggu untuk menjalani penilaian lanjut oleh pakar dari Hospital Sarikei sebelum dapat diterima masuk ke kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, satu perbincangan telah diadakan dengan pakar dari Hospital Sarikei pada 31 Oktober lalu, dan beberapa faktor telah diambil kira untuk memastikan proses penilaian dapat dijalankan dengan lancar.
"Setelah mempertimbangkan pelbagai faktor, kita telah berjaya menetapkan tarikh temu janji susulan untuk pelajar-pelajar berkenaan iaitu pada 10 Januari 2025,"katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kong Hiing dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Terdahulu, Datuk Ding bertanya sama ada MEITD mempunyai sebarang rancangan untuk menangani isu berkaitan penilaian tersebut, demi memastikan kelancaran proses dalam peringkat penting pendidikan awal kanak-kanak ini.
Dalam pada itu, Datuk Dr. Annuar turut memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan dua program utama bagi membantu mengenal pasti pelajar yang menunjukkan ciri-ciri kelewatan perkembangan berbanding rakan sebaya mereka, khususnya dalam kalangan murid prasekolah.
"Program pertama ialah Program Pengesanan Perkembangan dan Intervensi Murid Prasekolah (ProsPIM), melibatkan latihan penggunaan Senarai Semak Pengesanan Perkembangan Bayi dan Kanak-Kanak 1 bulan hingga 6 tahun bagi Tujuan Pendidikan Edisi Kedua, dikenali sebagai SSP.
"Program kedua, Kit Intervensi Perkembangan Murid Prasekolah telah diedarkan dari 10 Julai hingga 30 Ogos 2024, dan latihan telah dijalankan dalam kalangan semua 1,493 guru prasekolah di seluruh Sarawak, termasuk 27 guru prasekolah dari Meradong pada masa ini,"jelas beliau.
KPM juga katanya, telah memperkenalkan beberapa langkah intervensi untuk membantu pelajar yang masih menunjukkan kelewatan dalam pembelajaran, walaupun telah menerima pelbagai bentuk sokongan dan latihan.
Jelasnya lanjut, pelajar berkenaan akan dirujuk kepada Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) Sarawak atau sekiranya perlu, terus kepada pihak berkuasa kesihatan.
Tambahnya lagi, KPM juga menjalankan Program Saringan Penentuan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas secara tahunan melibatkan pelajar tahun 3 yang masih belum menguasai kemahiran asas 3M (Membaca, Menulis, dan Mengira), meskipun telah menjalani latihan intensif dalam kelas pemulihan. -EDISI UKAS