Meluan Perlukan CPPC, Tingkatkan Nilai Komoditi Lada

Disiarkan pada 16 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan memerlukan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) untuk bertindak sebagai pusat penyimpanan produk lada penduduk di kawasan berkenaan.

Wakil rakyatnya, Rolland Duat Jubin memberitahu, tanaman lada di kawasan Meluan merupakan antara yang terbaik di Sarawak hasil kemahiran, kualiti tanah dan sumber air di kawasan tersebut.

Justeru, pembinaan CPPC di kawasan ini katanya amat wajar untuk dipertimbangkan bagi mengangkat nilai komoditi lada keluaran Sarawak.

“Saya memohon projek khas daripada kerajaan untuk membina gudang bagi mereka memproses dan menyimpan lada mereka kerana sekarang ini mereka masih memproses hasil mereka di dalam rumah.

“Saya juga ingin mencadangkan sebuah fasiliti penyelidikan dan pembangunan (R&D) ditubuhkan di sini untuk meneroka teknologi yang lebih baik dan efisien dalam memproses krim lada putih yang mampu mencapai harga yang sangat tinggi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2025), 2024 sempena Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Jumaat.

Bagi meningkatkan lagi nilai komoditi tanaman lada ini, beliau mencadangkan untuk membuat satu kajian untuk mendapatkan status Penunjuk Geografi Dilindungi atau dikenali sebagai ‘Protected Geographical Indicator’ (PGI) untuk memelihara dan mengiktiraf kualiti pekebun kecil dari kawasan ini.

Memperkuatkan lagi usaha ke arah ini, Rolland turut membuat permohonan dana sebanyak RM10 juta daripada dana pembinaan jalan ladang yang diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk membangunkan jalan ladang di kawasan Meluan yang mana akan memanfaatkan pekebun lada dan sawit. -EDISI UKAS