‘Sarawak Youth Start-Up’ Bangunkan Usahawan Belia, Himpun Pelbagai Agensi Kerajaan

Disiarkan pada 16 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Program ‘Sarawak Youth Start-Up’ menghimpunkan pelbagai kementerian dan agensi Kerajaan Sarawak mahupun Persekutuan termasuk semua agensi pembangunan usahawan di bawah kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menurut Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat, program ini bukan sahaja untuk menjadi platform kepada belia untuk menimba ilmu bidang keusahawanan tapi untuk menjadi ‘pembekal’ kepada kementerian dan agensi yang terlibat.

“Kita menjadi pembekal di mana usahawan-usahawan ini kita latihkan mereka untuk diserahkan kepada agensi-agensi kerajaan yang terlibat sebab setiap kementerian ada program usahawan tersendiri.

“Sebagai contoh, Kementerian Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-Ficord) mempunyai program Agropreneur maka kita di ‘Sarawak Youth Start-Up’ akan mengasuh sebelum diserahkan kepada pihak M-Ficord untuk penambahbaikan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media ‘Sarawak Youth Start-Up’ di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir itu, kementeriannya juga tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan hab ‘Start-up’ belia setelah melihat kejayaan hab sedemikian di Korea Selatan dikenali sebagai ‘Pangyo Start-up Hub’.

Dalam pada itu, Datuk Dr Ripin Lamat memberitahu, seramai 80 orang telah menyertai ‘Sarawak Youth Start-Up’ setakat hari ini.

Justeru, beliau menyeru agar belia-belia berumur 18 tahun hingga 40 tahun yang berminat untuk menyertai keusahawan turut serta dalam ‘Sarawak Youth Start-Up’ dengan 300 orang menjadi sasaran bagi program itu kelak.

Permohonan bagi ‘Sarawak Youth Start-Up’ akan ditutup pada 25 November kelak dengan program itu akan dilaksanakan bermula 7 Disember hingga 14 Disember. -EDISI UKAS