Jenazah Mendiang Joanna Selamat Tiba Di Pangkalan Udara Kuching

Disiarkan pada 25 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Jenazah mangsa nahas insiden dua helikopter yang bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak mendiang Laskar Kanan Joanna Felicia Rohna selamat tiba di Pangkalan Udara Kuching pada jam 11.54 malam tadi menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Lebih memilukan, cuaca hujan lebat juga seakan-akan turut bersedih dengan ketibaan jenazah mendiang Joanna. 

Jenazah mendiang Joanna telah disambut oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus serta ahli-ahli keluarga terdekatnya.

Sebelum dibawa pulang ke Kuching, jenazah mendiang telah selesai melalui prosedur bedah siasat pada jam 2.20 petang di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak.

Seterusnya, jenazah dibawa pulang ke kediamannya di Kampung Engkeroh, Tebakang, Serian sebelum upacara pengebumian pada 25 April ini pada jam 9 pagi di Tanah Perkuburan Kristian berdekatan kampung itu.

Mendiang Joanna yang berusia 26 tahun merupakan anak kelahiran Kampung Sumpas Tampek, Serian merupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat Laskar Kanan yang telah menaiki salah sebuah helikopter yang terhempas bersama enam lagi mangsa.

Pada Selasa, Malaysia digemparkan dengan nahas malang itu apabila dua helikopter milik TLDM telah bertembung dan terhempas sewaktu melakukan latihan udara sempena Sambutan Hari Ulang tahun TLDM ke-90 yang menyebabkan 10 mangsa terkorban di tempat kejadian.

Kesemua 10 mangsa nahas yang terkorban adalah Komander Muhammad Firdaus Ramli, Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Leftenan Sivasutan Thanjappan, Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun, Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy, Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi, Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar termasuk Joanna.-EDISI UKAS