Premier Sarawak Ketengah Komitmen Terhadap Tenaga Boleh Diperbaharui & Penyahkarbonan

Disiarkan pada 24 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


POZNAN: Forum Teknologi Hidrogen Eropah Tengah yang berlangsung di Poznan di sini menyaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah mengetengahkan komitmen Sarawak terhadap tenaga boleh diperbaharui dan penyahkarbonan.

Premier Sarawak dalam laporan TVS dipetik sebagai berkata, beliau membincangkan inisiatif dan rancangan Sarawak dalam meningkatkan sekuriti tenaga dan kelestarian alam sekitar serta berkongsi pandangan mendalam mengenai strategi proaktif Sarawak dalam memerangi cabaran iklim global. 

"Tahun 2023 disenaraikan tahun paling panas dalam sejarah, di bawah Perjanjian Paris, had suhu meningkat di bawah 1.5 darjah celsius adalah penting namun mencabar. 

"Selepas pandemik COVID-19 melanda, kerajaan Sarawak telah melancarkan Strategi Pembangunan Pasca-Covid (PCDS) 2030 yang turut memberi tumpuan kepada kelestarian alam sekitar," katanya dalam laporan TVS.

Dalam pada itu, Premier Sarawak memberitahu, Sarawak bernasib baik kerana dianugerahkan dengan kekayaan sumber iaitu gabungan tenaga hidro, solar dan biojisim. 

"Kepelbagaian sumber tenaga ini membolehkan Sarawak mampu menghasilkan hidrogen mampu milik, malah kerajaan negeri telah memulakan pelan hala tuju untuk memperkenalkan hidrogen sebagai sumber kuasa utama," ujarnya.

Hadir sama mengiringi beliau ialah Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Duta Besar Malaysia ke Poland Dato' Chitra Devi Ramiah dan Marshall Wilayah Wielkopolska, Marek Wozniak.-EDISI UKAS