Pertimbang Cadangan Jadikan Long San Sebagai Daerah Penuh

Disiarkan pada 15 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Masyarakat di Long San, Telang Usan menaruh harapan agar kerajaan negeri dapat mempertimbangkan permohonan untuk menjadikan kawasan itu sebagai daerah kecil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata cadangan itu berikutan Daerah Kecil Long Lama telah dinaiktaraf menjadi daerah penuh.

Menurutnya, perancangan awal adalah untuk Pejabat Daerah Telang Usan menjadi tapak di Bandar Baru Telang Usan dalam Pelan Induk Hidro Baram.

Dennis turut mencadangkan agar pusat perkhidmatan Kerajaan diwujudkan di Long San bagi membolehkan penduduk luar bandar menikmati perkhidmatan kerajaan dengan baik.

“Oleh itu, saya menggesa pihak berkuasa yang berkenaan untuk meneliti perkara ini dan mungkin untuk memulakan pelaksanaan Daerah Kecil Long San secepat mungkin bagi membolehkan penyampaian perkhidmatan berkualiti yang dijanjikan kerajaan dapat dibuat.”

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Dato Dennis menawarkan kawasan Long Lama untuk dipertimbangkan sebagai salah satu tapak untuk dibangunkan menjadi zon Perindustrian di negeri ini.

Ujarnya, antara industri yang boleh berkembang di situ ialah proses hiliran sarang burung serta industri berasaskan kayu dan buluh.

“Dengan perhubungan jalan raya yang lebih baik yang menghubungkan Long Lama ke bandar dan bandar utama di negeri ini, ini akan menyediakan pemangkin pertumbuhan.”

Beliau turut menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan pembinaan skim perumahan di Pusat Pertumbuhan Luar Bandar Long Lama. - EDISI UKAS