KUCHING: Persidangan EIC Connect Energy Borneo dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 26 Februari 2025 akan menjadi platform utama bagi memperkukuhkan kerjasama dalam usaha mencapai emisi karbon sifar bersih menjelang 2050.
Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, persidangan akan diadakan di Hikmah Exchange ini bakal menghimpunkan pemimpin kerajaan dan pakar industri dari Sarawak, Sabah, Brunei, dan Kalimantan dengan matlamat untuk menerajui peralihan tenaga yang lebih bersih dan mampan di rantau ini.
“Perkongsian yang akan terjalin sepanjang dua hari konferensi ini akan memberi tumpuan kepada pencapaian sifar karbon sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, tindakan kolaboratif dalam mencapai sinergi serantau, serta strategi untuk memperkukuh keselamatan tenaga.
“Komitmen-komitmen ini amat penting kerana kita berusaha menyelaraskan objektif dengan matlamat tenaga global, sambil memperkukuh kestabilan ekonomi di kawasan kita,” ujarnya dalam sidang media EIC CONNECT di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat.
Tambahnya lagi, platform ini sekaligus menawarkan peluang kepada pemimpin-pemimpin negara untuk menjalin hubungan strategik menerusi pertemuan eksklusif, serta membina perkongsian yang berpotensi menghasilkan inisiatif yang memberi impak besar dalam sektor tenaga.
Pada masa sama, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut diberi platform untuk mempamerkan inovasi dan kebolehan mereka, membuka peluang bagi mengembangkan perusahaan dalam bidang tenaga yang lebih berdaya saing.
Hadir sama ialah Pengarah Serantau APAC untuk Energy Industries Council merangkap penganjur EIC CONNECT Energy Borneo 2025, Azman Nasir. -EDISI UKAS