Pejabat Kesihatan Bahagian Serian Ambil Tindakan Tangani Isu Hepatitis B

Disiarkan pada 15 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Pejabat Kesihatan Bahagian Serian telah melaksanakan pelbagai langkah kesihatan awam untuk menangani isu Hepatitis B iaitu penyakit hati yang semakin membimbangkan di kawasan tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, setiap kes Hepatitis B yang dilaporkan akan disiasat secara menyeluruh, manakala kontak rapat pesakit dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan.

Selain itu menurutnya, pesakit dan kontak rapat mereka turut menerima pendidikan kesihatan secara individu mengenai bahaya dan langkah pencegahan virus tersebut.

"Terdapat Pakar Perubatan Keluarga (FMS) yang bertugas di Klinik Kesihatan Siburan dan Klinik Kesihatan Balai Ringin, manakala doktor pakar dan pakar kanak-kanak juga tersedia di Hospital Serian untuk menguruskan dan memantau kes-kes Hepatitis B.

"Hepatitis B Immunoglobulin juga disediakan di Hospital Serian bagi bayi yang ibunya dijangkiti Hepatitis B, sebagai langkah pencegahan penularan dari ibu kepada anak,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.

Terdahulu, Dr Simon telah bertanya mengenai tindakan MPHLG dalam menangani isu penyakit Hepatitis di kawasan beliau dan Sarawak amnya.

Dalam pada itu, Datuk Michael memberitahu, Pejabat Kesihatan Bahagian Serian juga telah aktif menganjurkan ceramah kesihatan komuniti dalam kalangan kanak-kanak sekolah setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya jangkitan Hepatitis B.

Ditanya mengenai bilangan kes hepatitis B di bahagian Serian pula, jawab Datuk Michael, jumlah kes setakat Oktober 2024 mencatatkan penurunan kepada 76 kes, berbanding 223 kes yang dicatatkan pada 2023.

Hepatitis B adalah penyakit yang berbahaya tetapi boleh dicegah melalui langkah-langkah pencegahan yang berkesan seperti vaksinasi.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperkenalkan vaksin Hepatitis B sebagai sebahagian daripada Program Imunisasi Kebangsaan (NIP), yang diberikan kepada bayi baru lahir bagi mencegah jangkitan berkenaan sejak usia muda, sekali gus membantu mengurangkan penularan virus ini dalam kalangan masyarakat.-EDISI UKAS