KUCHING: Kira-kira RM3.9 bilion diperlukan untuk membina jalan baru sejauh kira-kira 300 kilometer (KM) bagi menghubungkan Daerah Kecil Long Bedian di Telang Usan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, anggaran kos tersebut dibuat berdasarkan survei dan data yang dikumpulkan, di mana cadangan jalan yang akan dibina itu adalah standard JKR jenis R3 termasuk beberapa jambatan dan kemudahan lain.
Katanya, apabila siap kelak, jalan tersebut bakal memberi manfaat kepada kira-kira 33 penempatan etnik Penan dan Kayan.
Antara perkampungan Penan dan Kayan yang bakal menikmati jalan baru tersebut adalah Long Atip, Long Watt, Long Tujang, Long Buang, Long Bemang, Long Win, Long Bangan, Long Jenalong, Long Latei, Long Liwok, Long Nen, Long Karangan, Long Kevuk, Long Leng, Long Urang, Long Kawa, Ba Selulong, Ba Siang, Long Belok, Long Sayan, Long Daloh, Long Daloh Bistari, Long Anyat, Long Luteng, Long Itam Bunau, Long Itam Asal, Long Lilim, Ba Pakan, Ba Kabeng, Long Melangit, Long Senyai, Long Tebangan dan Long Tap.
“Permohonan ini saya kemukakan dalam ucapan perbahasan pada persidangan Ogos lepas pada Mei 2024.
“Saya bersyukur kerana Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Sarawak telah meminta perkara ini untuk dikaji lebih lanjut.”
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Menyentuh perkara lain, beliau mahu kerajaan negeri meneruskan inisiatif kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur asas di kawasan luar bandar yang dilaksanakan oleh tiga syarikat tempatan.
Katanya, inisiatif di bawah ‘Kontrak Bertempoh Untuk Penyelenggaraan Jalan Luar Bandar’ itu telah membawa kelegaan kepada beberapa rumah panjang di kawasannya dan juga di Mulu.
“Sebagai sebuah kawasan yang luas dan sangat ‘ulu’ lagi dengan beribu-ribu kilometer jalan bumi yang menjadi rangkaian talian komunikasi asas, saya menggesa kerajaan negeri untuk meneruskan inisiatif itu sambil melihat cara untuk menambah baiknya terutama mengenai jumlah dana yang diperuntukkan.” - EDISI UKAS