KUCHING: Pihak berkuasa tempatan (PBT) memerlukan lebih banyak peruntukan agar berada dalam kedudukan untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang berkata, PBT seperti Majlis Bandaraya Miri merupakan barisan hadapan kerajaan negeri tetapi sedang menghadapi kekangan kewangan yang serius selama ini.
Menurutnya, tidak terdapat sebarang peningkatan dalam pendapatan hasil kerana pendapatan hasil utama daripada kadar taksiran tidak dinaikkan sejak tahun 2004 tetapi peningkatan minimum 0.5 peratus pada tahun 2024 dalam kes Majlis Bandaraya Miri.
“Itu adalah peningkatan minimum dalam selang 20 tahun. Pada masa yang sama, perbelanjaan Majlis Bandaraya Miri telah meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun berikutan peningkatan kos bahan, perkhidmatan dan upah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa membahasakan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Katanya, peranan majlis perbandaran seperti Majlis Bandaraya Miri telah berkembang dengan ketara selaras dengan perubahan masa dan keadaan.
“Sebagai contoh, perkhidmatan menyah cemar tangki septik yang wajib dikenakan kos tambahan RM5 hingga RM6 juta setahun dan kos pengurusan sisa telah meningkat seiring dengan pertambahan penduduk,” ujarnya. -EDISI UKAS