ADUN Lingga Mohon Siasat Isu Kerugian Ladang Kelapa Sawit Felcra Berhad Batang Lupar

Posted on 15 Nov 2024
Source of News: UKAS


KUCHING: Ladang Kelapa Sawit Felcra Berhad Batang Lupar yang terletak di Kampung Lingga telah menghadapi kerugian hampir setiap tahun sejak penubuhannya pada 2008, yang berlarutan lebih 10 tahun lamanya.

Statistik dan laporan perolehan ladang bagi tempoh 2013 hingga April 2022 menunjukkan bahawa 122 peserta atau waris ladang sawit tersebut hanya menerima dividen keuntungan sebanyak tiga kali, iaitu pada 2016, 2019 dan 2022.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, kerugian yang berterusan ini telah menimbulkan rasa ketidakpuasan hati dalam kalangan peserta dan waris ladang yang mengakibatkan 95 orang daripada mereka berhasrat untuk menjual lot ladang seluas 470 hektar kepada Felcra Berhad atau pihak swasta bagi memastikan hutang kos operasi ladang tersebut dapat dilangsaikan.

"Merujuk kepada Surat perjanjian antara Felcra Berhad dan peserta pada tahun 2010, Fasal 18 iaitu setelah peserta menjelaskan semua wang yang perlu dibayar mengikut perjanjian ini, pengurusan tanah tersebut akan diserahkan kembali kepada peserta tertakluk kepada persetujuan kedua belah pihak.

"Bermaksud, lot tanah tersebut tidak dapat diserah atau dituntut oleh peserta mahupun waris sekiranya hutang kos operasi ladang sawit masih tidak dapat dilangsaikan kepada Felcra Berhad,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.

Sehubungan itu, Dayang Noorazah momohon Kerajaan Sarawak untuk menyiasat isu ini dengan lebih mendalam dan memberikan bantuan yang sewajarnya agar nasib rakyat di kawasannya tidak terabai memandangkan ladang tersebut merupakan sumber pendapatan utama bagi kehidupan mereka, yang diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Dalam perbahasan sama, turut dibangkitkan adalah isu mengenai Projek Kolam Ikan Air Tawar (PBAP) di Kampung Tanjung Jaya, Lingga yang ditubuhkan sejak 1983 di bawah Jabatan Perikanan Darat Sarawak dan Jabatan Pertanian.

Beliau mencadangkan agar Kerajaan Sarawak melaksanakan projek pertanian baharu, di samping menetapkan syarat kepada mana-mana syarikat swasta yang terlibat dalam aktiviti pertanian untuk mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) terlebih dahulu bagi memastikan kawal selia yang lebih efisien dan teratur.

Selain itu, Dayang Noorazah juga memohon agar Kerajaan Sarawak memperuntukkan projek membina infrastruktur pertanian dan projek 'Flood Mitigation' Fasa 2 di Daerah Kecil Maludam dalam Rancangan Malaysia Ke Tiga Belas (RMK-13) yang akan datang.-Edisi UKAS