Projek Tambah Baik Jalan Ladang Kampung Sui Siap Sepenuhnya

Disiarkan pada 24 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Penduduk Kampung Sui di sini menarik nafas lega apabila kerja-kerja menambah baik jalan Ladang Sui 3 dan Ladang Sui 6 melalui Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) telah siap sepenuhnya.

Penyerahan tapak siap projek telah disampaikan oleh pihak kontraktor kepada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato' Idris Buang pada Rabu. 

Menurut Dato' Idris, projek tersebut melibatkan jarak sepanjang 1.5 kilometer dengan kos perbelanjaan sebanyak RM422,521.85. 

Katanya lagi, pelaksanaan projek itu dijangka mampu meningkatkan aktiviti pertanian di kawasan terbabit sekali gus mampu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat.

Projek di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Samarahan tersebut telah bermula 27 Disember 2023 dan siap sepenuhnya pada 28 Mac lalu.

Hadir sama, Pemangku Pegawai Khas IRSDA Suhaili Mohamed, Pemangku Pegawai Daerah Kota Samarahan Jerry Zannuddin Bidin dan Jurutera DID Bahagian Kota Samarahan Tang Jun Sheng. -EDISI UKAS