UiTM Cawangan Sarawak Serius Mempromosikan STEM

Disiarkan pada 24 Apr 2024
Sumber Berita: ukas




KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak serius dalam usaha mempromosikan pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) khususnya kepada pelajar sekolah di negeri ini.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Madya Ts. Dr Mohammad Isa Mohamadin berkata, perkara tersebut penting kerana universiti perlu memainkan peranan dalam menarik minat pelajar untuk menceburi bidang tersebut.

Menurutnya, ke arah itu Sudut STEM di Perpustakaan Tun Abdul Razak, Kampus Samarahan 2 atau STEM@PTAR diwujudkan sebagai inovasi sosial untuk pusat sehenti bagi rujukan dan pameran kepada sekolah atau mana-mana pihak luar UiTM yang berminat dengan program berasaskan STEM.

“Kita menyedari bahawa banyak sekolah yang memerlukan bantuan kita dalam hal ini, namun kita tidak mampu membantu semua dalam masa yang singkat susulan kekangan masa dan sebagainya.

“Justeru, disebabkan itu juga kita mewujudkan Sudut STEM ini agar dapat memudahkan para pelajar sekolah atau pihak luar datang mengadakan lawatan ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena pelancaran STEM@PTAR UiTMCS 2024 di Perpustakaan Tun Abdul Razak, Kampus Samarahan 2, di sini pada Rabu.

Tambahnya, para pengunjung terutamanya pelajar-pelajar sekolah boleh diberi lebih pendedahan kepada aktiviti-aktiviti makmal secara praktikal. 

Beliau juga berharap agar STEM@PTAR akan menyumbang kepada kesinambungan aktiviti-aktiviti STEM bersama pihak sekolah di sekitar Kuching dan Samarahan. 

“Kami percaya bahawa ini akan dicapai dengan sokongan dan libat sama pihak Pejabat Pendidikan, pihak sekolah-sekolah dan masyarakat setempat.

“Saya juga mencadangkan agar jawatankuasa melihat usaha untuk mewujudkan makmal bergerak khususnya ke kawasan luar bandar supaya pendedahan dapat diberikan kepada pelajar secara menyeluruh.

“Kita pergi ke lokasi menggunakan bas, van dan sebagainya dan boleh dilaksanakan pada waktu lapang atau cuti. Kita usaha sebaik mungkin kerana kalau tidak dapat buat semua, kita jangan tinggalkan semua,” tegasnya.

Hadir sama, wakil Ketua Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan Johan Safri serta wakil dari sembilan buah sekolah dari kawasan Kuching, Asajaya dan Kota Samarahan. -EDISI UKAS