KUCHING: Sijil Profesionalisme Pengurusan Masjid Sarawak (SPPMS) dicadang untuk dinaik taraf ke tahap diploma setelah mendapat sambutan yang menggalakkan.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha berkata, pihaknya akan membincangkan perkara ini bersama Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) bagi membincangkan pelaksanaan diploma tersebur.
"Sudah tentu ia akan melibatkan beberapa perkara dari segi pengurusan, kandungan (pembelajaran), pensijilan dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Profesionalisme Imam Sarawak (SPIS) Dan Sijil Profesionalisme Pengurusan Masjid Sarawak (SPPMS) Kali Ke-5 Tahun 2024 di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini pada Khamis.
Majlis tersebut menyaksikan seramai 91 orang telah mendapat SPIS dan SPPMS.
Seramai 41 orang imam lantikan Majlis Islam Sarawak di bawah Skim Perkhidmatan Pegawai Masjid layak untuk menerima sijil.
Manakala, seramai 50 orang Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Masjid dan Surau lantikan Majlis Islam Sarawak telah menerima sijil.
Menarik perhatian, Anugerah Peserta Terbaik turut diberikan bagi kedua-kedua sijil mengikut Zon Selatan, Zon Tengah dan Zon Utara.
Datuk Misnu memberitahu peserta terbaik bagi SPIS akan dibawa lawatan sambil belajar ke Indonesia manakala untuk SPPSM akan dibawa ke Singapura.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak merangkap Setiausaha Majlis Islam Sarawak Sahibus Siyadah Mual Suaud. -EDISI UKAS