Nahas Helikopter: Delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 Turut Berdukacita

Disiarkan pada 24 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


PERAK: Kerajaan Sarawak menerusi delegasi Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 turut berdukacita susulan insiden dua helikopter berlanggar di ruang udara dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini pada Selasa lepas.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkesempatan mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut semasa melakukan kunjungan hormat delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Bilik Gerakan Pejabat Setiausaha Kerajaan Perak di sini pada Rabu.

Jelasnya, insiden itu sangat dirasai kerana ia membabitkan seorang anak Sarawak yang turut terkorban semasa menjalankan tugas demi negara.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi, Belia Dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah mewakili Menteri Besar Perak, dalam ucapan aluannya berkata, kerajaan Perak turut bersedia menghantar atlet dan pegawai mereka ke temasya SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024.

Katanya, kontinjen Perak berhasrat untuk merangkul lebih banyak pingat emas sekaligus merangkul kejuaraan pada tahun ini.

Menutup tirai kunjungan hormat delegasi bagi zon utara, turut berlangsung penyerahan watikah jemputan SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 serta pertukaran cenderamata daripada kerajaan Sarawak dan kerajaan Perak.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dolhadi Mazuki serta Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Nur Alina Abdullah Colliner Gohe.-EDISI UKAS