KUCHING: Kawasan Kalaka memerlukan perkhidmatan liputan rangkaian jalur lebar, terutamanya di kawasan pedalaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohamad Duri berkata, setengah daripada kawasan kampung, perumahan dan rumah panjang tidak mempunyai liputan internet di mana kawasan tinggi mempunyai capaian internet yang tidak memuaskan.
“Saya percaya Kerajaan Sarawak tetap dalam usaha komited untuk melengkapkan kawasan di luar bandar dengan capaian internet yang bukan sahaja memberikan manfaat yang positif kepada penduduk tetapi juga menjadi pelengkap kepada pembangunan infrastruktur.
“Kita berterima kasih kepada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak kerana telah bekerja keras membina banyak menara-menara bagi memberikan kemudahan rangkaian telekomunikasi serta capaian internet namun masih terdapat kawasan yang belum dapat menerima liputan penuh,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Menurutnya, beberapa kawasan memerlukan perhatian MUT terutamanya di pekan Saratok untuk menempatkan menara perkongsian (sharing tower) di tapak sedia ada, berdekatan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Saratok pada jarak 900 meter.
“Manakala, bagi kawasan Roban, Plunga, Nyiar dan Jelupang disebabkan kedudukan menara sedia ada adalah sejauh 8.16 kilometer, tindakan penambahbaikan yang dicadangkan iaitu untuk membina menara baharu untuk menutup kawasan liputan titik buta dan ini akan membantu menambah baik liputan bagi kawasan sekitar.
“Oleh itu, saya mencadangkan sebuah menara baharu dibina di kawasan kebun di Sungai Lipat bertujuan untuk melayani jalan jajaran utama dan kawasan feri atau jambatan Sungai Krian.
“Ini sekaligus akan membantu untuk menambah baik keseluruhan liputan di sepanjang jalan kawasan terbabit,” ujarnya. -EDISI UKAS