KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi mencadangkan agar projek pendaratan hasil minyak dan gas di Mateding dilaksanakan.
Menurut beliau, hal ini sejurus pengumuman Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) mengenai penemuan minyak dan gas baharu di telaga cari gali ‘wildcat’ Sirung-1 dalam Blok SK405B Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) yang terletak di perairan cetek wilayah Balingian pada tahun 2021.
Jelasnya, zon industri Mateding adalah cadangan lokasi yang paling strategik untuk penubuhan projek tersebut.
“Pendaratan hasil minyak dan gas ini akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan yang baharu untuk dimanfaatkan oleh rakyat dan pemain industri di bahagian Mukah secara keseluruhannya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Dalam perkembangan lain, ADUN Balingian itu turut mencadangkan agar Pembinaan Jalan Bukut ke Sungai Bawan dan ke RGC Balingian turut dilaksanakan.
Jelasnya, projek pembinaan jalan raya tersebut dapat memanfaatkan seramai 3500 penduduk merangkumi 38 buah rumah panjang di bawah pentadbiran Daerah Kecil Balingian di mana ia akan memendekkan masa perjalanan.
“Ianya akan memudahkan penduduk dikawasan Kakus, seperti Bukut dan Ulu Arip untuk ke Pejabat Daerah Kecil Balingian atau urusan melibatkan pejabat-pejabat kerajaan yang ada di Pekan Balingian,” katanya. -EDISI UKAS