Menteri MOTS Ketuai Lawatan Ke Loji Metanol

Disiarkan pada 24 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Rombongan daripada Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) telah mengadakan lawatan khas ke Loji Metanol di sini baru-baru ini.

Rombongan yang diketuai oleh Menterinya, Dato Sri Lee Kim Shin bertujuan untuk membincangkan sebarang kekurangan atau bantuan yang diperlukan daripada kementeriannya terutama berkaitan keperluan maritim yang diwajibkan.

Antara komponen keperluan yang dibincangkan termasuk bantuan navigasi (ATONS), ukur hidrografi dan carta marin, kod Keselamatan Kapal dan Pelabuhan Antarabangsa (ISPC) dan notis kepada pelaut.

Dalam lawatan sama, Dato Sri Lee dan rombongan turut diberi taklimat mengenai status keseluruhan projek dengan perhatian khusus diberikan kepada jeti sepanjang tiga kilometer yang memanjang ke laut.

Buat masa ini, jeti yang mempunyai dua dermaga pemuatan itu mampu memuatkan kapal sehingga dua puluh ‘Deadweight Ton’ (DWT) setiap satu yang mana sudah mencapai 98 peratus siap.

Dalam pada itu, rombongan turut melawat tapak cadangan pembinaan Rumah Api Tanjung Likau yang baharu di mana ia akan menggantikan kompleks rumah api sedia ada di Tanjung Kidurong yang tidak lagi dianggap selamat.

Rumah api ini dijangka memberi perkhidmatan kepada ketiga-tiga pelabuhan iaitu Pelabuhan Bintulu, Jeti Muatan Petchem Bintulu Sarawak dan Pelabuhan Samalaju.

Rumah api baharu di Tanjung Likau akan terletak kira-kira 23 meter dari aras laut dengan ketinggian menara 22 meter. -EDISI UKAS