SUKMA XXI Sarawak 2024 Terbesar Dalam Sejarah Penganjuran

Disiarkan pada 24 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


JOHOR BAHRU: Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 yang akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan bakal menjadi yang terbesar dalam sejarah penganjurannya.

Menyifatkannya lebih besar dari temasya Sukan Olimpik, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, lebih 12,000 orang atlet akan berkampung di sembilan bahagian di negeri itu untuk menyertai 37 sukan dipertandingkan.

Menurut beliau, sebanyak 13 negeri termasuk Wilayah Persekutuan dan Brunei Darussalam telah mengesahkan penyertaan untuk bersaing dalam 484 acara sukan.

"Ini merupakan kali ketiga Sarawak menjadi tuan rumah di mana pertama kali pada tahun 1990, 2016 dan 2024.

"Kali ini penganjuran SUKMA adalah yang terbesar dalam sejarah kerana melibatkan sukan dengan sebanyak 484 acara yang dipertandingkan.

"Bagi Para SUKMA hanya melibatkan 10 sukan dengan jumlah 361 acara," katanya semasa mengetuai delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Johor, Dato Onn Hafiz Ghazi di Bangunan Dato Ja’afar Muhammad, Johor Bahru pada Rabu.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024 Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Datu Felicia Tan, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak Morshidi Fredrick serta delegasi yang lain.

Dalam pada Dato Sri Abdul Karim memberi bayangan Johor Darul Takzim sebagai pencabar utama Sarawak untuk merebut kejuaraan pada SUKMA kali ini.

Ia mengambil kira kejayaan negeri itu muncul juara keseluruhan pada edisi ke-20 2022 di Kuala Lumpur.

"Terima kasih kepada kerajaan Johor kerana akan mengambil bahagian dalam semua acara.

"Saya difahamkan Johor akan menghantar seramai 931 atlet dan pegawai dalam kejohanan kali ini," ujar Dato Sri Abdul Karim lagi.

Mengenai Para SUKMA yang akan berlangsung dari 20 hingga 28 September, katanya kesemua 10 acara sukan akan dilangsungkan di Bahagian Kuching.

Katanya, seramai 1400 atlet dan 600 pegawai akan terlibat dalam temasya tersebut.

Terdahulu, Dato Onn Hafiz mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana menjemput Johor untuk menyertai SUKMA dan Para SUKMA kali ini.

Katanya, kerajaan Johor juga berhasrat untuk mengulangi kejayaan memenangi SUKMA pada 2022 namun percaya tuan rumah Sarawak akan memberi saingan sengit untuk merebut kejuaraan kali ini.

Untuk rekod, Johor menjadi persinggahan kelapan delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 selepas Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula sejak 22 April lepas.

Delegasi akan meneruskan jelajah kunjungan hormat ke Melaka dan Negeri Sembilan esok. - EDISI UKAS