Kerajaan Sarawak Komited Tingkatkan Baka Ternakan Ruminan

Posted on 14 Nov 2024
Source of News: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited untuk meningkatkan baka ternakan ruminan terdiri daripada lembu, kerbau, kambing dan kambing biri-biri melalui Kementerian Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-Ficord).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, M-Ficord telah menubuhkan Ruminan Biotecnology Centre di Sungai Pinang, Simujan di mana sejumlah RM2 juta telah diperuntukkan.

“Pembangunan awal pusat ini yang bertujuan menjalankan penyelidikan dari segi penambahbaikan genetik, penggunaan teknologi moden dalam pembiakan seperti embryo transfer dan lain-lain kajian yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.

Selain itu, ADUN Bukit Kota itu turut memberitahu, kementeriannya juga bercadang untuk menubuhkan Lembaga Pembangunan Perusahaan Ternakan Sarawak dalam masa terdekat iaitu sebuah lembaga yang akan menyelaras industri penternakan ruminan secara keseluruhan di Sarawak.

Mengulas lanjut mengenai industri ternakan ruminan di Sarawak, Datuk Dr Rahman Ismail berkata, kementeriannya menetapkan sasaran untuk meningkatkan kadar sara diri bagi daging lembu, kerbau dan kambing dan kambing biri-biri daripada 15 peratus sekarang kepada 25 peratus pada tahun 2030.

Untuk mencapai sasaran ini ujarnya, populasi ternakan ruminan perlu dipertingkatkan kepada 158,750 ekor yang terdiri daripada 60,000 ekor lembu, 20,000 ekor kerbau dan 78,750 ekor kambing dan kambing biri-biri.

Bagi tujuan itu katanya, sebanyak RM40 juta telah diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 untuk melaksanakan pelbagai program untuk ternakan ruminan dalam PCDS 2030. -EDISI UKAS


Photo Caption: Datuk Dr Rahman Ismail (kanan) ketika beramah mesra dengan Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang (kiri) setelah tiba di Kompleks DUN Sarawak