KUCHING: Rayuan ganti rugi bagi peralatan elektrik yang rosak disebabkan gangguan bekalan elektrik boleh dibuat dengan mengemukakan surat kepada Sarawak Energy Berhad (SEB).
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, rayuan yang dibuat perlu berserta salinan laporan polis, bukti gambar kerosakan dan resit pembaikan peralatan.
“SEB akan membuat siasatan susulan selepas menerima dokumen tersebut,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Beliau menambah, sejak tahun 2019 sehingga kini, sebanyak 191 tuntutan ganti rugi telah diterima dengan sejumlah RM800,000 melibatkan 106 tuntutan ganti rugi telah dibayar sehingga kini.
Ditanya mengenai punca gangguan bekalan elektrik di Kabong, ADUN Pantai Damai itu memberitahu, punca terbesar adalah faktor luaran yang menyebabkan kerosakan talian grid.
"Antara gangguan yang berlaku adalah cuaca buruk, banjir kilat, tanah runtuh, tiang patah akibat dilanggar kenderaan, kerja penggalian tanah oleh pihak kontraktor serta pokok tumbang.
"Selain itu, terdapat juga gangguan sementara (transient) oleh hidupan liar atau sentuhan dahan pokok di bawah dan berdekatan dengan talian,"jelas beliau. -EDISI UKAS