Inisiatif Pembangunan Dilaksana Di Pusa

Disiarkan pada 24 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



PUSA: Pelbagai inisiatif pembangunan telah dilaksanakan di konstituensi Pusa bagi memudahkan rakyat sekitar.

 

Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli memberitahu, Daerah Pusa tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dengan empat jambatan iaitu Jambatan Batang Lupar, Jambatan Muara Saribas, Jambatan Saribas dan Jambatan Tandang Sari.

 

“Pembinaan jambatan tersebut menjadi penghubung pekan Pusa dengan masyarakat luar, sekaligus menjadikan Pusa sebagai pekan yang akan pesat dikunjungi oleh pengunjung,” jelasnya.

 

Mohamad Shafizan menambah, pembangunan modal insan harus dipentingkan dalam bidang pendidikan.

 

Sehubungan itu, beliau berkata tuisyen percuma kepada pelajar Tingkatan 4 dan 5 akan cuba diusahakan melalui Pusat Khidmat Parlimen Batang Lupar bagi meningkatkan prestasi akademik.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Peringkat Beting Maro-Zon Pusa di Kampung Pusa di sini pada Selasa.

 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor berkata, Kerajaan Sarawak telah menyediakan peruntukan di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) untuk kawasan Betong dan kawasan sekitar.

 

“Kawasan Beting Maro juga tidak ketinggalan dan ianya akan memberi wajah baharu kepada kawasan ini agar terus maju serta mencapai nikmat pembangunan yang telah disediakan oleh Kerajaan Sarawak,” ujarnya.

 

Menurutnya, Sarawak amat bertuah mempunyai pemimpin yang sangat prihatin, berpandangan jauh, mempunyai perancangan yang baik untuk membangunkan negeri ini.

 

“Penduduk di kawasan Pusa juga tidak ketinggalan kerana pelbagai kemudahan dan pembangunan  sedang dijalankan di kawasan ini.

 

“Saya menyeru kepada masyarakat di kawasan ini merebut peluang yang ada dan untuk terus meningkatkan pendapatan serta terus bersama kerajaan negeri untuk membangunkan Daerah Pusa khususnya,” jelasnya.

 

Turut hadir ialah Pegawai Khas kepada Premier Sarawak Datu Helmi Hazmi, Pemangku Pegawai Daerah Pusa Jamain Wahab, Mantan Pemangku Pegawai Daerah Pusa Bujang Ladi serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sekitar. -EDISI UKAS