Kerajaan Pahang Sokong Penuh SUKMA & Para SUKMA XXI Sarawak 2024

Disiarkan pada 24 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


PAHANG: Kerajaan Pahang menyatakan sokongan penuh dalam memastikan kelancaran Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024.
 
Exco Komunikasi dan Multimedia Belia, Sukan Dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerajaan negeri itu telah memberi komitmen dengan menyertai 36 acara sukan yang akan dipertandingkan di dalam SUKMA XXI Sarawak 2024.
 
Jelasnya, Pahang akan membawa delegasi besar yang melibatkan seramai 884 orang termasuk atlet, jurulatih dan pegawai dalam temasya sukan itu pada Ogos depan.
 
“Untuk SUKMA kali ini, Pahang sangat serius untuk memperbaiki kedudukan. Dulu kami pernah berada di tempat kesembilan, jadi kami membuat persiapan awal kali ini untuk memperbaiki kedudukan itu.
 
“Kita lihat penganjuran ini berada di landasan yang paling baik kali ini dan Pahang akan berjuang habis-habisan di Sarawak nanti.
 
“Kami juga menjalinkan kerjasama erat antara Majlis Sukan Pahang dan pihak di Sarawak untuk memastikan perkara ini berjalan lancar, kerana sembilan lokaliti ini perlu diurus dengan baik dari segi pengangkutan darat mahupun udara,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima Kunjungan Hormat daripada delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di pejabatnya di sini pada Rabu.
 
Fadzli Mohamad Kamal yang mewakili Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah menerima kunjungan hormat dari delegasi kerajaan Sarawak yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam dan Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat.
 
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan tahniah kepada kerajaan Sarawak sebagai tuan rumah bagi penganjuran temasya SUKMA dan Para SUKMA pada tahun ini.
 
Untuk rekod, temasya SUKMA kali ini akan diadakan pada 17 hingga 24 Ogos depan, manakala Para SUKMA berlangsung pada 20 hingga 28 September depan.
 
Penganjuran SUKMA di Sarawak tahun ini adalah yang terbesar dalam sejarah kerana melibatkan 37 sukan dengan sebanyak 484 acara yang dipertandingkan.
 
Manakala bagi Para SUKMA hanya melibatkan 10 sukan dengan jumlah acara 361 acara.-EDISI UKAS