Lawatan Ke DUN Sarawak, Pengalaman Berharga Bagi KMKK Orang Ulu

Disiarkan pada 13 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Orang Ulu dari Belaga mendapat pengalaman berharga ketika mengunjungi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi menyaksikan sendiri prosiding di dalam dewan tersebut.

Rombongan KMKK ini terlebih dahulu mengadakan kunjungan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Datuk Liwan Lagang, bertempat di DUN Sarawak, Petra Jaya di sini pada Selasa.

Sementara itu, Temenggong Ajang Sirek menyatakan rasa teruja mereka dapat melihat sendiri perbahasan dan sesi soal jawab antara ahli dewan.

Beliau juga menekankan pentingnya maklumat yang diperolehi secara langsung, mengingat terdapat kekeliruan yang sering timbul daripada maklumat yang disampaikan oleh NGO atau kumpulan pembangkang yang mungkin tidak selari dengan realiti dalam dewan.

Mengulas mengenai peruntukan besar bagi kawasan luar bandar, Ajang menyuarakan rasa gembira namun mengharapkan agar setiap projek yang diluluskan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Justine Aseh, wakil dari sub etnik kaum Punan turut meluahkan harapan masyarakat Belaga terhadap projek-projek yang lama tertangguh seperti pembinaan stadium mini dan kompleks sukan untuk para belia.

"Belia di Belaga memerlukan tempat untuk beriadah dan projek ini akan sangat bermakna bagi kami," katanya.

Turut senada, Kaunselor Kiprawi Mohd Mokhtar berhasrat agar kerajaan Sarawak mempertimbangkan cadangan pembangunan perumahan mampu milik di Belaga untuk menarik lebih ramai penduduk menetap di daerah tersebut.

"Kami memerlukan program dan insentif untuk menarik belia agar menyertai aktiviti ekonomi seperti pertanian kelapa sawit dan penternakan.

"Dengan sumber yang ada di kawasan seperti Bakun dan Murum, peluang pekerjaan dapat dijana, misalnya melalui penternakan ikan dan kilang ammonia serta baja yang boleh membuka peluang pekerjaan baru bagi belia," jelasnya.

Lawatan ini diharapkan dapat memberi pendedahan yang lebih baik kepada masyarakat luar bandar mengenai peranan dan usaha kerajaan dalam membangunkan kawasan mereka.

Pada masa yang sama, lawatan kumpulan Orang Ulu yang diketuai oleh Datuk Liwan Lagang turut mengadakan kunjungan kepada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas. -EDISI UKAS