KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli & Alam Sekitar 2024 serta tadbir urus berdiri teguh sebagai tiang dalam perjalanan Sarawak menuju pembangunan lestari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin berkata, tujuan utama Rang Undang-Undang ini adalah untuk melindungi kesihatan manusia, memelihara alam sekitar untuk generasi kini dan akan datang, serta memastikan pembangunan yang lestari.
“Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) yang ditubuhkan di bawah undang-undang ini akan bertanggungjawab untuk menetapkan matlamat kualiti alam sekitar bagi perlindungan flora, fauna, dan kesihatan manusia.
“Lembaga ini juga akan memberi cadangan kepada Menteri bertanggungjawab mengenai dasar perlindungan dan peningkatan alam sekitar, termasuk sejauh mana pelepasan sisa boleh dibenarkan.
“Lembaga ini juga akan memantau dan mengawal aktiviti yang mungkin memberi kesan kepada alam sekitar, termasuk operasi industri, penilaian impak alam sekitar dan pemuliharaan.”
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Sumber Asli dan Alam Sekitar, 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 di sini pada Selasa.
Wilfred menegaskan, keadaan alam sekitar di Sarawak tidak boleh dipandang remeh terutamanya apabila berhadapan dengan masalah tuntutan pembangunan bandar yang lebih pesat berbanding dengan usaha untuk memelihara alam sekitar.
Jelasnya, sikap acuh tak acuh pembuat dasar terhadap pembangunan jangka panjang demi mengejar keuntungan ekonomi jangka pendek berpotensi untuk menyumbang kepada kerosakan alam sekitar di Sarawak. -EDISI UKAS