Penubuhan Jabatan Perikanan Sarawak Kini Dalam Proses Penilaian Awal

Posted on 24 Apr 2024
Source of News: UKAS


KUCHING: Kerajaan negeri sedang dalam proses penilaian awal untuk menubuhkan Jabatan Perikanan Sarawak.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi & Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, langkah ini penting dalam memperkasakan sektor perikanan.

Menurut beliau, sebelum ini semua sektor pertanian dilaksanakan di bawah satu jabatan dan perancangan kerajaan Sarawak kini memperkenalkan jabatan-jabatan yang lebih fokus untuk setiap sektor.

"Dua tahun lalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak berjaya ditubuhkan dan kini pihak kerajaan dalam proses menubuhkan Jabatan Perikanan untuk meningkatkan industri perikanan.

“Sekarang ini dalam rangka untuk kita membuat penilaian awal dan kita dalam proses untuk bertemu dengan negeri-negeri yang mempunyai jabatan ini seperti Sabah.

“Kita cuba kalau boleh seawal-awalnya pada persidangan yang akan datang iaitu pada November depan tetapi sekiranya belum bersedia kemungkinan besar kita akan membentangkan ini dalam Dewan Undangan Negeri pada persidangan tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Konvensyen Usahawan Tani Jabatan Pertanian Sarawak di Kuching pada Rabu.

Dalam pada itu, Datuk Dr. Abdul Rahman menambah, Jabatan Perikanan ini nanti akan melengkapkan industri penting di negeri ini.

"Dengan adanya jabatan perikanan ini, kita akan memiliki satu jabatan yang lengkap untuk memantau produk-produk dan industri-industri penting dalam sektor pertanian, termasuk tumbuh-tumbuhan, veterinar, dan perikanan.

“Ini adalah satu inisiatif penting Kerajaan Sarawak," ujarnya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Datuk Martin Ben, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Sirai Daha, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pertanian Sarawak Radziah Jack dan Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Pertanian Sarawak Gilbert Igi. -EDISI UKAS