KUCHING: Usul untuk Meminda Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan menambah elemen tanggungjawab kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, hal ini terutamanya dua pindaan iaitu Perintah Tetap 40(3) membolehkan tindakan diambil terhadap ahli yang berterusan menggunakan atau mengulangi maklumat yang tidak disahkan atau tidak dapat dibuktikan kebenarannya.
Manakala katanya, pindaan kepada Perintah Tetap 86 bagi memastikan keputusan Speaker dihormati.
"Ini bukan sahaja meningkatkan disiplin dalam Dewan tetapi juga mendorong ahli untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan, menjadikan perbahasan lebih berfokus dan konstruktif berbanding perbahasan yang berniat untuk menimbulkan kekacauan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Pindaan Peraturan-Peraturan Mesyuarat DUN Sarawak dalam Persidangan DUN Ke-19 di sini pada Selasa.
Tambahnya, pindaan kepada Perintah Tetap 40(3) dan 86 menambahkan elemen tanggungjawab kepada ahli untuk tidak mengulangi maklumat yang tidak dapat disahkan.
Selain itu, Royston menambah, pindaan ini akan mempercepatkan proses perundangan dengan penekanan kepada pengesahan maklumat dan pengurangan gangguan semasa sesi persidangan.
Jelasnya, semua ADUN dapat memberi tumpuan kepada isu-isu penting tanpa terganggu oleh pertikaian yang tidak relevan atau maklumat palsu, menjadikan sesi lebih produktif dan efisien. -EDISI UKAS