Sokongan Penjawat Awam Dari Pelbagai Agensi Faktor Utama Kejayaan Para SUKMA Ke-21

Disiarkan pada 13 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS

KUCHING: Sokongan tidak berbelah bagi daripada penjawat awam negeri dan persekutuan serta pelbagai agensi dan sukarelawan menjadi faktor utama kejayaan penganjuran temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 Sarawak pada September lepas.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menzahirkan penghargaan khusus beliau kepada penjawat awam dan sukarelawan yang memberikan komitmen tinggi dalam memastikan kelancaran acara ini.

“Saya ingin meluangkan sedikit waktu untuk memberikan penghargaan khas kepada semua penjawat awam, Persekutuan dan Sarawak yang terlibat dalam menjayakan Para SUKMA.

"Kerjasama antara agensi kerajaan dalam aspek perancangan, logistik, keselamatan, dan penyediaan kemudahan adalah faktor utama kejayaan acara ini,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Makan Malam Apresiasi Para SUKMA Ke-21 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam Selasa.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah yang memainkan peranan penting sebagai Menteri Bertanggungjawab Para SUKMA XXI, serta Ketua Kontinjen Sarawak, Datuk Mohamad Razi Sitam dan Ketua Pegawai Eksekutif Para SUKMA, Datu Hii Chang Kee atas kejayaan menjadikan Sarawak penganjur terbaik kejohanan itu serta muncul sebagai juara keseluruhan.

Terdahulu dalam ucapan aluan, Dato Sri Fatimah berkata kementeriannya berhasrat untuk menubuhkan Unit Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam memartabatkan sukan bagi golongan berkenaan.

Ujarnya, tiga aspek utama dalam tumpuan serta fokus utama dalam penubuhan unit tersebut iaitu Pengenalpastian dan Pembangunan Bakat secara Agresif dan Kolaboratif, Pembangunan Profesional serta Kursus Kemaskini Latihan Sains Sukan bagi jurulatih.

"Pengalaman ini perlu digarap sebagai peluang untuk kita belajar, menyusun strategi, mengasah idea dan pasukan, serta memperbaiki mutu sebagai hos acara berskala besar," katanya.

Pada temasya tersebut, kontinjen Sarawak berjaya merampas semula kejuaraan Para Sukma selepas berjaya merangkul 82 pingat emas, 51 perak dan 72 gangsa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (Pembangunan Wanita Dan Kanak-Kanak) Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Mohamad Razi Sitam, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap KPWK merangkap Setiausaha Bersama Para Sukma XXI Sarawak 2024 Datu Felicia Tan Ya Hua, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datu Chiew Chee Yau dan tetamu kehormat yang lain.-Edisi UKAS