Kerja Baik Pulih Kawasan Tanah Runtuh Di Tebedu Siap Sepenuhnya

Disiarkan pada 24 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


TEBEDU: Penduduk di kawasan Tebedu khususnya Kampung Lobang Batu dan Kampung Sejijak dapat menarik nafas lega apabila kerja-kerja membaik pulih kawasan tanah runtuh kini siap sepenuhnya.

Sebelum ini, penduduk yang terkesan ekoran bencana itu menghadapi kesukaran kerana jalan perhubungan terputus dan tidak dapat dilalui sama sekali atas faktor keselamatan.

Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jawatankuasa Bencana Bahagian Serian terus melaksanakan penilaian dan mengemukakan skop-skop kerja bagi kerja-kerja baik pulih terhadap kawasan yang runtuh tersebut.

Sehubungan itu, pihak kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah memperuntukkan dana sebanyak RM440,000 bagi memulakan kerja-kerja baik pulih kerosakan tersebut.

Projek yang siap sepenuhnya pada 18 April tahun ini mendapat kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada pada Selasa bagi melihat sendiri kualiti projek yang telah dilaksanakan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan dan JKR serta semua pihak yang terlibat kerana berjaya menyampaikan hasil kerja yang berkualiti untuk memudahkan semula urusan perhubungan jalan darat penduduk di kawasan berkenaan.

Hadir sama, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, wakil Pegawai Daerah Tebedu Mohd Faiz Rusydi, Ketua Kampung Lobang Batu Suweh Bawan dan Ketua Kampung Sejijak Kibuhu Anthony Bangu. -EDISI UKAS