Usul Pindaan Peraturan Mesyuarat DUN Sarawak Tangani Penyalahgunaan Media Sosial

Disiarkan pada 12 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak adalah untuk menangani penyalahgunaan media sosial dalam prosiding Dewan.

 

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, terdapat keperluan untuk mengemas kini Peraturan Mesyuarat bagi menangani perkembangan dan cabaran baharu yang timbul.

 

Menurutnya, cabaran baharu yang dibawa oleh media sosial tidak dilindungi secukupnya oleh Peraturan Mesyuarat Parlimen dan DUN di Malaysia.

 

“Melalui pindaan ini, adalah penting untuk menangani perkembangan terkini dan cabaran yang timbul yang tidak cukup dilindungi oleh Peraturan Mesyuarat semasa kedua-dua Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Malaysia.

 

“Memandangkan landskap perundangan terus berkembang, pindaan ini adalah penting untuk memastikan bahawa peraturan yang memerintah kekal boleh disesuaikan, komprehensif dan mampu mengurus isu kontemporari dengan berkesan dan mengekalkan integriti prosiding parlimen,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian semasa mengemukakan Usul Untuk Meminda Peraturan-Peraturan Mesyuarat DUN Sarawak di Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Selasa.

 

Dato Sri Abdul Karim berkata, prosiding Dewan ini hendaklah dijalankan dengan penuh maruah, khidmat dan adab.

 

“Apa yang diperkatakan dalam Dewan ini dan dilaporkan di luar boleh mempengaruhi perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

 

“Oleh itu, adalah penting segala pertimbangan dan keputusan Dewan ini harus dihormati di mana salah nyata apa-apa yang diperkatakan atau berlaku di Dewan sama ada kepada akhbar atau orang ramai secara amnya mesti dielakkan,” ujarnya.

 

Difahamkan, usul berkenaan berhasrat meminda Peraturan Mesyuarat 20, Peraturan Mesyuarat 32(10), Peraturan Mesyuarat 40(3), Peraturan Mesyuarat 86 dan Peraturan Mesyuarat 90.

 

Usul tersebut disokong oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapa’ee. -EDISI UKAS