KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli Dan Alam Sekitar 2024 bagi memperkukuh kuasa autonomi pengurusan alam sekitar di Sarawak.
Kelulusan ini diumumkan oleh Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar selepas menerima sokongan sebulat suara para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Sebelum itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, RUU ini akan menyediakan rangka kerja komprehensif yang mengukuhkan undang-undang perlindungan alam sekitar dan menggalakkan pertumbuhan sosio ekonomi jangka panjang.
“Dengan penggubalan perundangan yang ketat, RUU ini menangani keperluan kritikal untuk memerangi perubahan iklim dan kemerosotan alam sekitar di Sarawak.
“Ketika dunia bergelut dengan isu-isu mendesak ini, Sarawak meletakkan dirinya sebagai sebahagian daripada usaha global untuk melindungi planet ini, sejajar dengan piawaian dan amalan alam sekitar antarabangsa,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa bacaan kali ketiga RUU tersebut di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Katanya, komitmen Sarawak kepada RUU berkenaan menunjukkan pendekatan tadbir urus yang berpandangan ke hadapan, di mana keperluan masa kini dipenuhi tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka sendiri.
“Dengan RUU ini, Sarawak mengesahkan komitmennya untuk masa depan yang lebih bersih, hijau dan lebih mampan,” ujarnya.
Dalam pada itu, ADUN Bukit Sari itu juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada para ADUN yang telah membahas bagi menyokong RUU Sumber Asli Dan Alam Sekitar 2024. -EDISI UKAS