Skim Penanaman Padi Terima Suntikan Dana RM23 Juta

Disiarkan pada 24 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sebanyak tujuh kawasan skim penanaman padi di bawah konstituensi Dewan Undangan Sarawak Opar menerima suntikan dana berjumlah RM23 juta daripada kerajaan Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang memberitahu, dana yang disalurkan melalui Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).

Katanya, ini bertujuan untuk menambah baik prasarana dan infrastruktur dalam kawasan skim penanaman padi tersebut.

Beliau berkata demikian dalam taklimat khas Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (DID) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang terlibat di sini pada Selasa.

Antara kampung yang terlibat termasuklah Kampung Jugan, Kampung Rukam, Kampung Sedaing, Kampung Jangkar, Kampung Biawak, Kampung Tebaro dan Kampung Sebako. 

Berdasarkan taklimat tersebut, projek ini akan didahulukan dengan pembinaan parit konkrit, pembentung serta pembinaan jalan raya yang akan menjadi akses ke kawasan penanaman padi itu nanti.

Usaha berterusan daripada kerajaan Sarawak yang tidak berbelah bahagi  ini jelas membuktikan bahawa wilayah ini komited dalam memastikan keterjaminan makanan dapat diusahakan di peringkat tempatan terlebih dahulu khususnya dalam pembekalan beras.-EDISI UKAS