KUCHING: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 akan memperkukuhkan lagi peranan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, RUU ini juga bertujuan untuk memperkukuh pengurusan dan pemuliharaan sumber alam dan alam sekitar di Sarawak selain memperkenalkan pelbagai langkah baharu dalam kawalan pencemaran dan pengurusan sumber alam.
Menurutnya, NREB dapat mengawal penggunaan dan eksploitasi sumber alam secara lestari dan tanpa merosakkan alam sekitar.
“Lembaga ini akan bertanggungjawab untuk menentukan bagaimana sumber alam boleh dieksploitasi atau digunakan, namun tanpa merosakkan, mencemarkan atau menyebabkan kesan buruk terhadap alam sekitar kita.
“Ini akan memastikan bahawa segala aktiviti pembangunan yang dijalankan tidak memberi impak negatif terhadap keindahan dan kualiti alam sekitar yang kita warisi," katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 pada Selasa.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II itu menambah, NREB dapat bertindak untuk mengarahkan pihak berkuasa melakukan audit alam sekitar dan memastikan aktiviti pembangunan mematuhi garis panduan alam sekitar yang ditetapkan.
Ujarnya, sisa terjadual yang biasanya dihasilkan oleh industri, akan dikawal dengan lebih ketat melalui peruntukan dalam draf Akta ini di mana salah satu langkah penting adalah penyerahan urusan pengurusan sisa terjadual kepada pihak negeri di bawah pelaksanaan fasa pertama Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Tambah beliau, peningkatan kuasa penguatkuasaan termasuk kuasa untuk menangkap, menggeledah, menguji bahan berisiko, dan melarang penggunaan kenderaan yang merosakkan alam sekitar.
Melalui RUU itu katanya, denda lebih besar dikenakan untuk ketidakpatuhan berulang, dengan jumlah denda meningkat hingga 10 kali ganda dan dimasukkan ke dalam Dana Terpadu Negeri. -EDISI UKAS