KUCHING: Usaha berterusan untuk membantu golongan gelandangan di Sarawak semakin menampakkan hasil positif dengan menyelamatkan seramai 107 orang gelandangan setakat Oktober 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, memaklumkan bahawa operasi ini diketuai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMS) dan melibatkan kolaborasi 12 agensi serta penyertaan 80 anggota dalam memberi sokongan kepada golongan gelandangan.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa, satu Program Bersepadu Menyelamat Gelandangan telah dijalankan pada malam Isnin di Kuching, menjadikannya Operasi Bersepadu Menyelamat Gelandangan pertama bagi Daerah Kuching pada tahun ini.
Dato Sri Fatimah menambah bahawa Jawatankuasa Pengurusan Gelandangan Sarawak (JPGS) Bahagian Kuching turut hadir untuk memastikan kelancaran operasi tersebut.
Mengulas mengenai statistik, beliau menyatakan bahawa Sibu mencatatkan prevalens tertinggi dengan 43 individu, diikuti oleh Miri (15), Kuching (14), dan Bintulu (14).
"Antara faktor utama yang menyumbang kepada gelandangan termasuk masalah tempat tinggal, tiada pekerjaan, kesihatan mental, masalah keluarga, ketagihan alkohol dan bahan terlarang serta penagihan dadah," katanya.
Oleh itu, Kerajaan Sarawak turut menyediakan kemudahan sokongan yang lebih menyeluruh seperti Tempat Transit Gelandangan (TTG) di bandar utama termasuk Kuching, Sibu, Bintulu, dan Miri.
TTG Sibu, yang mula beroperasi pada Disember 2021, telah menyelamatkan 184 individu setakat ini.
Dato Sri Fatimah turut menekankan bahawa usaha ini memerlukan kerjasama bersepadu antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan, sektor swasta, NGO, serta komuniti setempat.
Untuk rekod, hasil operasi tersebut di Kuching berjaya menyelamatkan tujuh gelandangan di sekitar Tebingan Kuching, Jalan Padungan, serta kawasan Tabuan dan Satok. - EDISI UKAS