16 Pasukan Sertai Pertandingan Aerobathon Anjuran MPKS

Disiarkan pada 24 Apr 2024
Sumber Berita: ukas



KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 16 pasukan menyertai Pertandingan Aerobathon sempena penganjuran Program Cergas Ceria Bersamamu Wanita Tahun 2024 anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).

Timbalan Pengerusi MPKS, Kaunselor Abdul Muttalib Julaihi berkata pertandingan tersebut telah membawa satu kelainan dalam program 
bersamamu wanita kali ini.

Katanya, pertandingan itu juga sangat bermakna dalam usaha mempromosikan kesihatan, kesejahteraan, dan kecergasan melibatkan golongan wanita.

“Ini juga kerana, kita tahu bahawa wanita merupakan asas kepada Matlamat Pembangunan Mampan ketiga iaitu kesihatan dan kesejahteraan yang baik.

“Saya juga sangat menghargai semua pihak yang hadir, kerana perkara ini membuktikan komitmen yang teguh untuk sentiasa menyokong agenda pemerkasaan wanita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sekaligus menyempurnakan perasmian Program Cergas Ceria Bersamamu Wanita Tahun 2024 serta Program Kelestarian Alam Sekitar dan Cakna Kesihatan Tahun 2024 di Salvation Army Community Complex, Samarahan pada Rabu.

Untuk rekod, antara peserta yang terlibat adalah wanita-wanita Parti Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Samarahan dan Asajaya, ahli-ahli Persatuan Ekonomi Wanita Muara Tuang serta pelajar-pelajar SMK Kota Samarahan dan SMK Muara Tuang. 

Menjelas lanjut mengenai program berkenaan, beliau memaklumkan bahawa pelbagai pameran daripada pihak berkuasa yang terlibat menunjukkan komitmen mereka terhadap pembangunan mampan yang holistik.

Beliau memberitahu, terdapat ceramah bertajuk 'Gender Equality' turut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti dan Pelancongan MPKS Kanselor Dr.
Florince Christy; Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial (MPS) Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah dengan tajuk 'Sexual Harrasment and Early Teenage Pregnancy'.

Sementara itu, pada sebelah petang para pelajar juga berpeluang untuk mendengar  ceramah daripada pensyarah kanan Jabatan Perubatan Komuniti dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr. Rosalia Saimon tentang kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar. 

“Sepertimana kita tahu menjaga kelestarian alam sekitar adalah tanggungjawab bersama untuk memastikan warisan yang berharga ini dikekalkan untuk generasi akan datang. 

“Justeru, saya menyeru supaya wanita terus mengambil langkah proaktif untuk memastikan mereka berjaya berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada orang lain, mengetahui hak-hak wanita serta mendayaupayakan potensi supaya mampu bangkit mengatasi cabaran untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik,” tegasnya.

Hadir sama Pemangku Setiausaha Perbandaran MPKS Gustian Durani, Pegawai Daerah Asajaya Rais Ahmad, serta wakil jemputan yang lain. -EDISI UKAS