KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek menafikan dakwaan ADUN Padungan, Chong Chieng Jen yang mendakwa pihak pengedar Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) enggan menukar tong gas petroleum cecair (LPG) kuning kepada tong merah di Sibu.
Bercakap dalam satu sidang media, Joseph Chieng membentangkan bukti dokumentasi yang menunjukkan seramai 472 pelanggan di Sibu berjaya menukar tong LPG kuning mereka kepada tong merah sehingga 7 November 2024.
Menurut beliau, setiap isi rumah boleh memiliki sehingga tujuh tong gas.
“Sehingga 7 November 2024, Pusat Khidmat saya telah membantu penduduk dengan menghantar tong gas tersebut kepada pengedar PETROS.
"PETROS kemudian mengatur pengedarnya untuk menghantar tong merah kepada mereka yang membuat permohonan pertukaran,” jelasnya kepada pemberita di Pusat Media Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) pada Isnin.
Dalam pada itu, semasa menjawab soalan mengenai proses pertukaran tong gas tersebut, Joseph Chieng menjelaskan bahawa pelanggan hanya perlu memaklumkan hasrat mereka kepada pengedar Petros untuk menukar tong gas.
“Apabila pengedar menghantar tong ke rumah pelanggan, kosnya adalah RM26.60 termasuk bayaran pengangkutan, prosesnya sangat mudah,” tambahnya.-EDISI UKAS