Sarawak Fokus Lahirkan Generasi Muda Kreatif Melalui Pembangunan Bakat

Disiarkan pada 11 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Selain daripada pembangunan dalam bidang ekonomi, Kerajaan Sarawak turut memberi fokus untuk melahirkan generasi muda yang kreatif melalui pembangunan bakat.

Bagi tujuan itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengumumkan penyediaan dana sebanyak RM9 juta pada tahun depan di bawah Dana Industri Kreatif Belia Sarawak.

Menurut beliau, peruntukan ini bertujuan untuk memupuk potensi kreatif dan inovatif belia di Sarawak, terutamanya dalam bidang seperti muzik, filem, teater dan inisiatif inovasi.

“Dana ini akan membolehkan lebih ramai belia berbakat untuk menyertai program antarabangsa, meneroka kandungan kreatif digital, dan memberi sumbangan positif kepada komuniti mereka melalui projek kreatif,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan cadangan Belanjawan Sarawak 2025 pada hari pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.

Menyentuh mengenai penglibatan belia dalam bidang keusahawanan, beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak turut mengumumkan dana khas RM2 juta yang akan disediakan di bawah perbelanjaan operasi untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bagi mempromosikan dan menggalakkan keusahawanan dalam kalangan belia Sarawak. -EDISI UKAS