KUCHING: Sebanyak RM6.8 bilion atau 62 peratus daripada RM10.9 bilion yang dicadangkan untuk Perbelanjaan Pembangunan dalam Belanjawan Sarawak 2025 akan diperuntukkan untuk inisiatif pembangunan luar bandar bagi memastikan penduduk luar bandar menikmati hasil pembangunan seiring dengan kemajuan di kawasan bandar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah-langkah dengan menyediakan pelbagai inisiatif, program dan projek dalam mempercepatkan pembangunan luar bandar untuk merapatkan jurang infrastruktur yang kritikal.
Justeru katanya, inisiatif yang dijalankan dijangka mentransformasi ekonomi Sarawak dan meningkatkan kehidupan serta mata pencarian rakyat telah dimasukkan dalam Belanjawan 2025.
“Antara peruntukan yang diberikan adalah RM650 juta untuk pelaksanaan Projek Rakyat, RM420 juta untuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan RM265 juta untuk Program Projek Khas,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2025 pada hari pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Selain itu, Menteri Kewangan Dan Ekonomi Baharu itu berkata, sembilan Agensi Pembangunan Wilayah juga menerima peruntukan sebanyak RM300 juta di bawah Belanjawan kali ini.
Tambahnya, sejumlah RM742 juta akan disediakan di bawah Pembiayaan Alternatif untuk menyokong pelaksanaan pelbagai program dan projek seperti jalan raya, bekalan elektrik, dan akses air dalam menghubungkan kawasan luar bandar dengan pusat-pusat ekonomi.
“Projek-projek ini dijangkamemberikan manfaat ekonomi yang besar untuk Sarawak, mewujudkan peluang pekerjaan bahau bagi komuniti tempatan dan merangsang pertumbuhan dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan,” jelasnya -EDISI UKAS