Belanjawan Sarawak 2025: Petani Kecil Terima Peruntukan Untuk Pembangunan Bersasar

Disiarkan pada 11 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Petani kecil di Sarawak menarik nafas lega apabila turut menerima peruntukan melalui inisiatif pembangunan yang disasarkan melalui Belanjawan Sarawak 2025.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini merupakan inisiatif daripada Kerajaan Sarawak untuk terus meningkatkan taraf petani kecil di negeri ini.

“Untuk tahun 2025, sebanyak RM30.4 juta akan diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan tanaman makanan, RM5.9 juta untuk projek perikanan darat dan akuakultur, serta RM17.4 juta untuk pembangunan ternakan dan veterinar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan cadangan Belanjawan Sarawak 2025 pada hari pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.

Premier Sarawak menambah, sebanyak RM7.9 juta akan diperuntukkan pada tahun 2025 untuk memperkasakan agropreneur dengan kemahiran untuk latihan pertanian, perkhidmatan penyuluhan, serta sokongan untuk mekanisasi dan automasi.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kewangan Dan Ekonomi Baharu memberitahu, Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) turut menerima peruntukan dalam usaha untuk mereka memainkan peranan penting dalam menyokong petani kecil dengan memberikan panduan mengenai pengurusan jualan dan memperluas akses pasaran.

“Untuk tahun 2025, sebanyak RM10.9 juta akan diperuntukkan untuk memperkukuh sistem pemasaran SFO dan memperbaiki kemudahan mereka.

“Manakala, sebanyak RM4.6 juta akan diperuntukkan untuk memperkukuh fungsi Pertubuhan Peladang Kawasan,” katanya.

Turut hadir pada hari pertama Persidangan DUN Sarawak Ke-19 ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan-timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi Dan Pembangunan) Dato Sri Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak. -EDISI UKAS