Bantuan Kewangan Khas RM1,200 Kepada Pelajar Sarawak Berpendapatan Rendah Di Institusi Pengajian Tinggi Seluruh Malaysia

Disiarkan pada 11 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkenalkan bantuan kewangan khas untuk pelajar Sarawak yang sedang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh Malaysia dalam bentuk wang saku sebanyak RM1,200 setiap pelajar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, bantuan kewangan ini akan memberi manfaat kepada 25,000 pelajar Sarawak dari keluarga kumpulan pendapatan rendah dengan pendapatan per kapita isi rumah sebanyak RM1,500 atau kurang sebulan.

“Wang yang diberikan adalah untuk dibelanjakan bagi makanan dan barangan keperluan asas bagi membantu mereka mengurangkan kos sara hidup.

“Dalam Belanjawan 2025 , sejumlah RM30 juta akan diperuntukkan untuk tujuan ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2025 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Isnin.

Menteri Kewangan Dan Ekonomi Baharu itu menambah, baucar buku sebanyak RM500 setiap seorang untuk pelajar IPT sama ada awam atau swasta di Sarawak daripada keluarga dengan pendapatan per kapita RM1,500 sebulan atau lebih rendah juga diberikan sebagai inisiatif menanggung kos pendidikan.

Selain itu katanya, komputer riba percuma akan diberikan kepada pelajar Sarawak yang berjaya mendaftar di IPTA dan IPTS dari keluarga dengan pendapatan per kapita RM1,500 sebulan atau lebih rendah.

“Bantuan ini akan memberdayakan pelajar kita dengan teknologi asas yang diperlukan untuk berjaya dalam pengajian mereka dengan peruntukan sebanyak RM30.5 juta pada tahun depan, yang akan memberi manfaat kepada 10,166 pelajar,” jelasnya.

Turut hadir pada hari pertama Persidangan DUN Sarawak Ke-19 ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan-timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi Dan Pembangunan) Dato Sri Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak. -EDISI UKAS