KUCHING: Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk mencapai pendapatan sebanyak RM14.2 bilion pada tahun hadapan sekaligus menjadikan ia sebagai pendapatan tertinggi wilayah ini sasarkan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendapatan ini mengambil kira beberapa sumber termasuklah daripada cukai, bukan cukai, Penerimaan Bukan Pendapatan dan geran serta pampasan daripada Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, pendapatan bukan cukai menjadi penyumbang terbesar kepada anggaran pendapatan ini dengan jumlah akumulatifnya sebanyak RM7 bilion bersamaan dengan 49 peratus daripada jumlah anggaran secara keseluruhannya.
“RM2.7 bilion diperolehi daripada pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas, RM2.9 bilion daripada pendapatan dividen, RM853 juta daripada pendapatan faedah, RM400 juta daripada tanah premium, RM120 juta daripada pampasan tunai sebagai ganti duti import dan eksais ke atas produk petroleum dan RM26 juta daripada sumber lain, termasuk lesen, yuran perkhidmatan, permit dan sewaan,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Belanjawan Sarawak 2025 pada hari pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 Sarawak pada Isnin.
Sementara itu Premier Sarawak memberitahu, penyumbang kedua kepada anggaran ini adalah pendapatan yang diperolehi daripada kutipan cukai yang mana dianggarkan sebanyak RM6.2 bilion sekaligus menyumbang kepada 44 peratus daripada anggaran keseluruhannya.
“RM5.1 bilion daripada Cukai Jualan Negeri, di mana RM4.1 bilion daripada minyak mentah, gas asli cecair dan produk petroleum lain, RM820 juta daripada minyak sawit mentah dan minyak inti sawit mentah, RM75 juta daripada loteri, RM60 juta daripada produk aluminium, RM29 juta daripada produk kayu, manakala baki RM6 juta daripada arang batu.
"Manakala, pendapatan daripada kutipan cukai yang selebihnya diperolehi daripada royalti air mentah sebanyak RM620 juta, RM100 juta daripada royalti hutan, premium kayu dan tarif serta RM422 juta daripada royalti perlombongan, sewaan tanah dan lain-lain," jelasnya lagi.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Penerimaan Bukan Pendapatan akan menjana pendapatan sebanyak RM32 juta terutamanya daripada deposit yang tidak dituntut, pembayaran berlebihan yang dipulihkan, dan pelupusan kenderaan.
Manakala ujarnya, geran dan pampasan daripada Kerajaan Persekutuan pula dijangka mencecah RM937 juta dengan mengambil kira peningkatan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menaikkan kadar Geran Khas Interim bagi Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta berkuat kuasa tahun depan.
Turut hadir pada hari pertama Persidangan DUN Sarawak Ke-19 ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan-timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi Dan Pembangunan) Dato Sri Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak. -EDISI UKAS