KUCHING: Belanjawan Sarawak 2025 mencadangkan peruntukan sebanyak RM15.8 bilion, menjadikannya jumlah terbesar dalam sejarah dibentangkan oleh Kerajaan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, belanjawan pengembangan itu mencatat peningkatan sebanyak RM2.2 bilion atau 16 peratus berbanding RM13.6 bilion pada 2024 untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Menurut beliau, belanjawan bertemakan “Together Building a Prosperous Future” itu akan memperuntukkan Perbelanjaan Operasi sebanyak RM4.9 bilion dan Perbelanjaan Pembangunan sebanyak RM10.9 bilion.
"Belanjawan Sarawak 2025 memperbaharui dan mengukuhkan komitmen kerajaan negeri untuk memperjuangkan kebajikan rakyat melalui langkah-langkah yang disasarkan yang bertujuan untuk meringankan beban kewangan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana serta meneruskan pelaksanaan program dan projek yang berteraskan rakyat.
“Ia adalah belanjawan yang direka untuk Sarawak yang inklusif dan makmur di mana setiap rakyat mempunyai akses yang saksama kepada peluang dan sumber untuk berkembang maju.
“Belanjawan ini telah dinilai dan dirumus dengan teliti untuk memastikan Sarawak kekal berdaya tahan, berdaya saing, dan boleh menyesuaikan diri di tengah-tengah ketidaktentuan global.
“Membina pencapaian masa lalu dan dengan asas yang kukuh, kita bersedia untuk mengharungi cabaran masa depan, melindungi kesejahteraan rakyat dan membawa kemakmuran kepada semua," katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan cadangan Belanjawan Sarawak 2025 pada hari pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Premier Sarawak menambah, Belanjawan Sarawak 2025 dirangka merentasi lapan teras strategik iaitu Mentransformasi dan Mempelbagaikan Ekonomi Sarawak; Meletakkan Sarawak sebagai Destinasi Pelaburan Utama Mempromosikan Pembangunan PKS; Memperkukuh Bakat dan Pembangunan Pendidikan; Mempercepat Inovasi dan Transformasi Digital; Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat dan Memastikan Pembangunan Inklusif; Mempromosikan Budaya, Sukan dan Pemerkasaan Belia; Meningkatkan Kelestarian Alam Sekitar dan Memperkukuh Penyampaian Perkhidmatan Awam dan Kapasiti.
“Belanjawan Sarawak 2025 mencadangkan jumlah Perbelanjaan Biasa sebanyak RM13.7 bilion, di mana RM4.9 bilion adalah untuk Perbelanjaan Mengurus, manakala RM8.8 bilion untuk peruntukan Akaun Kumpulan Wang Pembangunan.
“Peruntukan ini adalah untuk menambah baki yang dibawa ke hadapan dalam Akaun Kumpulan Wang Pembangunan untuk membiayai Perbelanjaan Pembangunan 2025 yang dianggarkan sebanyak RM10.9 bilion,” ujarnya lagi.
Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari, dengan unjuran hasil sebanyak RM14.2 bilion dan jumlah Perbelanjaan Biasa sebanyak RM13.7 bilion, Belanjawan Sarawak 2025 dijangka menjana lebihan sebanyak RM486 juta.
Katanya lagi, daripada RM4.9 bilion diperuntukkan untuk Perbelanjaan Operasi, sebanyak RM1.2 bilion atau 24 peratus diperuntukkan untuk emolumen kakitangan, RM1.9 bilion (39 peratus) untuk bekalan dan perkhidmatan dan RM1.6 bilion (33 peratus) untuk geran dan bayaran tetap, termasuk geran operasi kepada Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan, pembayaran hutang awam dan pembayaran ganjaran, pencen, dan biasiswa termasuk bantuan kewangan dan kebajikan.
Manakala ujarnya, RM96 juta diperuntukkan untuk perolehan aset dan RM113 juta untuk perbelanjaan mengurus lain.
Turut hadir pada hari pertama Persidangan DUN Sarawak Ke-19 ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan-timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi Dan Pembangunan) Dato Sri Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak. - EDISI UKAS