Kerajaan Sarawak Umum Inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak, Bantu Golongan Sasar

Disiarkan pada 11 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Berita baik kepada golongan sasar yang berpendapatan rendah apabila Kerajaan Sarawak mengumumkan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang menyediakan bantuan kewangan di antara RM250 hingga RM800 setiap tahun bagi membantu golongan berkenaan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penerima yang layak adalah warga Sarawak yang menetap di negeri ini dengan pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah dengan nilai bantuan sebanyak RM800, warga emas tanpa pasangan dan anak berpendapatan RM5,000 ke bawah akan menerima bantuan bernilai RM400 dan orang bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah akan menerima bantuan bernilai RM250.

“Bantuan ini akan membantu mereka membeli bahan makanan asas seperti beras, tepung dan minyak masak.

“Untuk tujuan ini, pentadbiran saya akan memperuntukkan RM450 juta pada tahun hadapan yang akan memanfaatkan tidak kurang daripada 850,000 penerima.

“Dengan bantuan ini, saya boleh katakan, semua orang akan mempunyai makanan di atas meja mereka," katanya semasa membentangkan cadangan Belanjawan Sarawak 2025 pada hari pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut melabur dalam penjagaan kesihatan warga emas dengan meluluskan pelaksaan Faedah Kesihatan Warga Emas.

Jelasnya, pada tahun 2025, sebanyak RM50 juta dimanfaatkan kepada 100,000 warga emas dengan bantuan perubatan tanpa tunai RM500 untuk bil perubatan di klinik panel yang diluluskan terutamanya kepada golongan M40 dan B40 yang bersara atau tidak mempunyai pendapatan yang stabil.

Turut hadir pada hari pertama Persidangan DUN Sarawak Ke-19 ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan-timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi Dan Pembangunan) Dato Sri Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak. -EDISI UKAS