Sarawak Tingkatkan Pembangunan Bakat Melalui Kerjasama Antarabangsa

Disiarkan pada 24 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


LONDON: Sarawak sedang memperkasakan pembangunan bakat untuk menghasilkan produk semikonduktor seperti silikon, geranium dan galium arsenide dengan meningkatkan kerjasama bersama para pemain industri di United Kingdom (UK).
 
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembangunan bakat dalam pelbagai faktor untuk rakyat Sarawak adalah penting bagi memastikan kedudukan Sarawak di dalam platform global.
 
Beliau percaya para pereka Sarawak mampu setanding dengan para pereka antarabangsa, memandangkan kini terdapat syarikat asing yang sudah membeli produk semikonduktor keluaran Sarawak.
 
Datuk Amar Awang Tengah, yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II menambah, Samalaju High Tech Park adalah salah satu lokasi yang baik untuk syarikat asing datang dan menubuhkan syarikat mereka dengan tenaga kerja terdiri daripada penduduk tempatan yang boleh dijadikan tempat di mana pembangunan bakat dapat dimajukan.
 
Mengenai teknologi biojisim, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan itu berkata, lawatan ke Loji Janakuasa Drax di Leeds, London amat membuahkan hasil dan signifikan kerana ia mendedahkan kepada delegasi yang hadir tentang cara bagaimana pelet kayu digunakan untuk menjana tenaga bersih di United Kingdom.
 
“Dalam hal ini, sebuah syarikat tempatan seperti Samling telah mengeksport pelet kayu ke negara luar untuk tujuan tersebut.
 
“Oleh itu, kita mempunyai potensi untuk membangunkan teknologi menggunakan pelet kayu untuk menjana tenaga dalam masa terdekat,” katanya sebagai mengulas lawatan kerja ke Leeds dan London pada Selasa. 
 
Datuk Amar Awang Tengah merupakan salah seorang delegasi kerajaan negeri yang diketuai oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki di dalam lawatan kerja ke London dan Poland. -EDISI UKAS