Eco Run Tarik Pelancong Luar Negara

Disiarkan pada 10 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS



SERIAN: Program Eco Run mampu menarik pelancongan daripada luar negeri dan luar negara ke kawasan Serian.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Bada berkata, program Eco Run ini telah dimasukkan ke dalam kalender pelancong maka dengan itu diharapkan pada tahun depan banyak lagi penaja akan tampil membantu untuk menjayakannya. 

 

“Antara objektif program Eco Run ini adalah untuk mempromosikan kawasan luar bandar menjadi produk pelancongan.

 

“Pada masa yang sama, ini akan menggiatkan semua sektor yang terlibat seperti perkhidmatan perhotelan, penginapan desa, pengangkutan, makanan dan minuman,” jelasnya. 

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penangguhan Eco Run Edisi 3/2024 di Kampung Daha Kisau di sini pada Ahad.

 

Untuk rekod, Gerald Gayar dinobatkan juara untuk kategori 30 kilometer (km) lelaki terbuka pada program Eco Run itu dengan mencatatkan masa 3 jam 33 minit 59 saat manakala johan 30km terbuka wanita disandang oleh Sally Ann Yap Yuing dengan masa 4 jam 23 minit 38 saat.

 

Para pemenang kategori 30km telah membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 masing-masing.

 

Selepas itu, Dr Simon telah menghadiri program pelepasan anak ikan tengadak di Sungai Kedup bagi menambah populasi ikan di Batang Kedup.

 

Turut hadir ialah Setiausaha Majlis Daerah Serian Tay Guan Huat, Penolong Setiausaha Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Mona Octavia Sulai Albans Melling, wakil Pegawai Daerah Tebedu Angela Thomas, Ketua Polis Daerah Serian DSP Neil Baginda dan Pegawai Daerah Serian Inting Nyami. -EDISI UKAS