Komitmen & Perjuangan Berterusan Pemuda Pastikan Masa Depan Sarawak Lebih Cerah

Disiarkan pada 10 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


GEDONG: Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Miro Simuh, menegaskan bahawa komitmen dan perjuangan perlu diteruskan, terutama kepada golongan pemuda, untuk memastikan masa depan Sarawak yang lebih cerah.

Beliau juga mengakui sokongan pemuda dalam Program Perhimpunan Pemuda PBB Sarawak sebagai bukti semangat perjuangan pemuda dalam memperjuangkan hak dan masa depan negeri.

“Pelan jelajah Sarawak yang dirancang oleh pergerakan pemuda ini bertujuan memastikan kesinambungan politik dan memperkasakan suara belia di negeri ini.

"Program ini menjadi medium untuk menyatukan tenaga, idea, dan semangat belia dalam meneruskan perjuangan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Perhimpunan Pemuda PBB Sarawak yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bertempat di Dewan Datuk Patinggi Ali, Gedong pada Ahad.

Beliau yang juga ADUN Serembu turut mengumumkan program jelajah Pemuda PBB seterusnya akan diadakan di Betong pada 25 Januari depan.

Katanya setiap zon di Sarawak akan dilawati untuk membina momentum menjelang pilihan raya negeri.

Miro turut memohon agar lebih ramai ahli exco Pemuda diberi peluang berkhidmat di agensi penting untuk memperkasa belia dalam pembangunan negeri.

“Kita bukan sahaja memastikan Sarawak terus maju, tetapi juga memupuk kebanggaan dalam kalangan belia yang aktif dalam bidang ekonomi, keusahawanan, dan inovasi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Miro Simuh mengusulkan agar inkubator perniagaan diwujudkan di setiap daerah di Sarawak untuk memberi peluang kepada anak muda dalam bidang keusahawanan.

Beliau juga mencadangkan pembinaan trek pemotoran di Gedong bagi membolehkan belia menunjukkan bakat dalam sukan permotoran dengan lebih selamat.

Miro yakin dengan sokongan penuh pemuda, PBB dan GPS akan terus memimpin Sarawak ke arah masa depan yang lebih gemilang.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Yang Dipertua Parti PBB Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang Dipertua Kanan Parti PBB Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Setiausaha Agung Parti PBB Sarawak Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ketua Pergerakan Pemuda Parti PBB Sarawak Miro Simuh, Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, ahli-ahli yang berhormat menteri dan timbalan menteri, Pengerusi Program & Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Afiq Fikri Brahim serta ketua-ketua pergerakan PBB seluruh Sarawak. -EDISI UKAS